SEORANG wanita dilapor maut manakala suaminya parah selepas motosikal ditunggang mereka melanggar sebuah kereta jenis Proton Wira.
Dalam kejadian di Jalan Parit 5 off Jalan Tengah Parit 4 Timur, Sungai Besar jam 9.30 pagi itu, wanita berkenaan yang membonceng motosikal ditunggang suaminya meninggal di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, pasangan suami isteri warga emas itu difahamkan dalam perjalanan dari Chenderong Balai, Perak ke Loji Sungai Burung.
"Namun sejurus keluar dari Simpang 4 Jalan Parit 5 Timur, motosikal mereka melanggar kereta tersebut.
"Kemalangan itu mengakibatkan isteri penunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian," jelasnya.
Susulan itu tambah Agus, mayat mangsa dihantar ke Hospital Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) untuk proses bedah siasat.
Manakala suami mangsa yang cedera parah dirawat di Unit Kecemasan HTAJ Sabak Bernam dan akan dirujuk ke Hospital Sungai Buloh.
Sementara itu tambah Agus, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ)1987.
0 Comments