AHLI PARLIMEN Ampang, Zuraida Kamarudin dinasihat agar 'kekal tenang' sementara menanti keputusan Lembaga Disiplin parti yang dijangka akan dibuat menjelang 25 Februari ini.
Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sementara menanti keputusan itu, Zuraida perlu mengambil sikap tenang dan mengelakkan diri dari mengeluarkan sebarang kenyataan.
Tegas Saifuddin, ia kerana dibimbangi akan berlaku percanggahan kenyataan dengan surat jawapan bertulis yang telah diberikan Zuraida kepada lembaga itu sebelum ini.
“Kekal tenang. Itu sahajalah. Itu semua di bawah bidangkuasa Datuk Ahmad Kassim, Pengerusi Jawatankuasa Disiplin,” katanya dalam satu program di Kulim.
Nasihat tersebut dibuat sipercayai berhubung kekeliruan berhubung tarikh sebenar untuk Zuraida bertemu dengan lembaga itu seperti dilapor sebelum ini.
Sebagai rekod, pada 18 Jan lepas, Zuraida diberikan surat tunjuk sebab oleh Lembaga Disiplin parti itu dan beliau diberikan masa 14 hari untuk menjawabnya.
Surat itu menyentuh beberapa isu, termasuk ucapannya pada pada majlis makan malam 8 Dis lalu, susulan tindakannya yang didakwa tidak berpuas hari dengan Kongres Nasional KEADILAN dan tindakannya mengkritik pucuk pimpinan parti secara terbuka.
Zuraida yang memihak kepada 'kem kartel'yang dikaitkan dengan Mohammed Azmin Ali kini sedang bercuti daripada jawatannya sebagai Naib Presiden.
0 Comments