Tak mampu halang, namun Anwar gesa henti desakan


PRESIDEN Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap tiada lagi desakan dibuat supaya Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melepaskan jawatan dengan segera.

Menurut Anwar, telah wujud persefahaman mengenai isu peralihan kuasa dikalangan pucuk pimpinan oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan (HARAPAN).

"Saya harap tidaklah (ada desakan) dan saya tidak boleh (halang sekiranya ada desakan). Biar dua-dua pihaklah, ada setuju, ada tidak setuju, yang penting HARAPAN mesti pegang pada keputusan dan perjanjian.

"Kita ada persefahaman dan ini akan dimuktamadkan dalam mesyuarat pada 21 Februari ini. Jadi kita selesai dengan baik.

"Proses transisi ini untuk kebaikan negara harus secara aman dan teratur," katanya  selepas menyempurnakan Majlis Malam Anugerah Gabungan Jawatankuasa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam (ACCIN) di Masjid Saidina Umar al-Khattab, Bukit Damansara malam tadi.

Kenyataan Anwar itu dibuat merujuk kepada isu peralihan kuasa yang semakin diperkata umum kebelakangan ini, ia termasuk usaha pihak tertentu yang cuba menggagalkan perjanjian itu termasuk cadangan membawa usul 'percaya' dan SD menyokong agar Dr Mahathir terus mengetuai kerajaan sehingga tamat penggal.

Dr Mahathir ketika ditemui media semalam menegaskan bahawa pelan peralihan kuasa kepada Anwar akan tetap berlaku, tambahnya dengan usia menjangkau 95 tahun, ia sesuatu yang sukar untuk beliau memimpin negara.

 

Post a Comment

0 Comments