NEGARA jiran Thailand dilapor telah membuka klinik sepenuh masa pertamanya yang mengkhusus kepada perubatan tradisional dan alternatif berasaskan ganja.
Menteri Kesihatan Awam Thailand, Anutin Charnvirakul yang dilapor bercakap kepada media ketika majlis pembukaan klinik itu berkata, ia sebagai sebahagian langkah negara itu membangunkan industri berkenaan.
“Ini klinik perintis, kerana kita tidak dapat menyediakan doktor mencukupi yang ada kepakaran mengenai ganja,” katanya sambil berkata pihak kerajaan merancang membuka 77 klinik di seluruh negara iaitu satu klinik bagi setiap wilayah.
Tahun lalu, Thailand menggugurkan ganja dan ekstrak daripada senarai narkotiknya dan mencadangkan draf undang-undang yang membolehkan setiap isi rumah menanam enam pokok ganja.
Negara itu memiliki tradisi penggunaan ganja bagi melegakan kesakitan dan keletihan, meletakkan bahan itu sah untuk kegunaan perubatan serta penyelidikannya dilakukan pada 2017 untuk meningkatkan pendapatan pertanian.
Memetik laporan rauters, terdapat kira-kira 25 klinik kanabis ditempatkan di hospital umum di seluruh negara yang berbeza dari klinik perintis berasaskan ganja yang dibuka itu.
Sementara itu Kementerian Kesihatan Awam Thailand menjangkakan kehadiran pesakit antara 200 hingga 300 orang setiap hari.
Setakat kini, kira-kira 2,200 pesakit sudah mendaftar di klinik berkenaan sehingga Mac.
“Saya bimbang pada mulanya, tetapi apabila saya kaji kesannya dan memutuskan ia lebih baik kerana ia semula jadi,” kata seorang pesakit, Waraporn Boonsri, 69, yang mendapatkan rawatan di klinik berkenaan.
0 Comments