Taman Seri Muda banjir, pam tambahan tak mampu alih air


HUJAN
lebat berterusan di Lembah Klang sejak awal pagi menyebabkan beberapa kawasan di Taman Seri Muda Seksyen 25 dinaiki air.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning, V Ganabatirau  yang dipetik laporan Sinar berkata, walaupun semua pam berfungsi dengan dengan skala maksimum namun taburan hujan yang tinggi menyebabkan sistem saliran tidak mampu menampung jumlah kapasiti air.

"Hujan bermula sejak jam 4 pagi namun banjir mula berlaku di kawasan ini sekitar jam 9.10 pagi.

"Walaupun ada pam untuk salirkan air ke kolam takungan namun taburan hujan yang tinggi menyebabkan berlakunya banjir ini," katanya menurut laporan portal itu.

Pam tidak mampu mengekang banjir
Difahamkan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) turut menyediakan dua pam tambahan di kunci air sekitar Seri Muda bagi mengurangkan keadaan banjir berkenaan.

Mengulas lanjut, Ganabatirau berkata, selain taburan hujan yang tinggi, banjir tersebut juga dipercayai berlaku disebabkan oleh sikap sebilangan pihak yang membuang sampah di dalam longkang.

"Keadaan ini mengganggu sistem saliran dan menyebabkan kawasan ini sangat senang dinaiki air," katanya.

Sementara itu jelas Ganabatirau, semua agensi dan jabatan berkaitan telah turun padang bagi memantau keadaan banjir di kawasan tersebut.

Bagaimanapun beliau percaya isu banjir dikawasan itu bakal dapat diatasi tidak lama lagi.

Disember tahun lalu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) meluluskan 30 projek khas pada tahun ini melibatkan penambahbaikan dan naik taraf longkang.

"Kebanyakan projek terletak di Seksyen 25 namun ia mungkin akan bermula pada pertengahan tahun ini selepas semua proses dan perancangan selesai," kata Ganabatirau.

Post a Comment

0 Comments