Kemarau : PBAPP mohon teruskan pembenihan awan


PERBADANAN
Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) memohon supaya operasi pembenihan awan di kawasan utara dapat diteruskan ketika musim kemarau melanda negara.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP Datuk Jaseni Maidinsa berkata walaupun pembenihan awan telah dilaksanakan, namun hujan masih di kawasan utara semenanjung masih ditahap minimum.

Jelasnya, paras air Sungai Muda di Kedah dan kapasiti efektif dua empangan utama di Pulau Pinang - Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang - masih menunjukkan penurunan.

"Sehubungan itu, operasi pembenihan awan untuk Kedah dan Pulau Pinang mesti diteruskan semasa musim kemarau ini, untuk mencetuskan hujan sebanyak mungkin bagi mengekalkan atau meningkatkan kapasiti efektif empangan di kedua-dua negeri.

"Operasi pembenihan awan ini penting untuk menghasilkan kesan serta-merta, serta mengurangkan risiko kemarau yang berpanjangan. Walaupun musim monsun barat daya dijangka pada bulan April 2020, tarikh ketibaan sebenarnya dan jumlah hujan yang akan dibawa, tidak dapat dipastikan dengan tepat pada masa ini," katanya dalam kenyataan.

Sementara itu jelasnya, beberapa langkah proaktif telah dilaksana pihaknya bagi mmemastikan bekalan air kepada penduduk mencukupi sehingga hujan tiba pada April.

Ia antaranya termasuk meminimumkan pelepasan dari Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang untuk memanjangkan 'jangka hayat' simpanan strategik kemarau di negeri ini, mengoptimumkan pengeluaran air terawat di Loji Rawatan Air (LRA) terbesar Pulau Pinang, LRA Sungai Dua dan memohon meneruskan operasi pembenihan awan.


BACA: Melaka teroka sumber air baharu

Dalam pada itu, Jaseni memohon agar semua rakyat Pulau Pinang menyokong usaha penjimatan air dan menggunakannya secara berhemah untuk tempoh dua hingga tiga bulan ini.

"Walaupun Pulau Pinang tidak berada dalam keadaan bahaya catuan air, kita tidak boleh berpuas hati. Kita harus proaktif untuk mengelakkan catuan air walau apa keadaan sekali pun," katanya.

Post a Comment

0 Comments