Perodua Bezza 2020 lebih padu


MODEL
terbaharu sedan dari Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA), Bezza 2020 mendapat sambutan hangat selepas dilancarkan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PERODUA, Datuk Zainal Abidin Ahmad, berkata sejak tempahan dibuka pada 3 Januari lalu.

“Bagi Januari saja, PERODUA akan menyerahkan 5,600 unit Perodua Bezza 2020 kepada pelanggan yang mana penyerahan pertama bermula esok,” katanya pada majlis pelancaran Perodua Bezza 2020 di Kuala Lumpur saing tadi.

Model terbaharu Perodua itu kini tampil dengan perincian lebih menarik antaranya dilengkapi lampu hadapan LED.

Semua varian kini menerima skirt sisi dwi-tona bersama dengan bampar hadapan dan belakang rekabentuk baharu.

Pada varian 1.3 liter, Bezza dilengkapi rim aloi 10-jejari 15-inci yang memberikan rupa keseluruhan yang kukuh dan meyakinkan.

Hadir dalam varian 1.0 G MT, 1.0 G AT, 1.3 X AT dan 1.3 AV AT, Bezza menawarkan gaya kontemporari dan teknologi keselamatan canggih dengan pakej kompak.
Penampilan lebih kemas dan menarik


Ia kini turut ditawarkan dengan dua warna luaran baharu iaitu Garnet Red (bagi varian 1.3 liter saja) dan Granite Grey selain warna yang sedia ada, iaitu Ivory White, Glittering Silver, Ocean Blue dan Sugar Brown.

Tidak sekadar penampilan yang menarik, ia sudah terkenal dengan penawaran  kecekapan bahan api, praktikaliti, mudah dipandu dan kos pemilikan rendah.


Kabin luas, lebih selamat


Ketika memasuki ruang kabin yang luas pula,  kombinasi meter beriluminasi putih terus menjadi tumpuan, kombinasi warna ia memberikan penampilan sporty dan menaikkan lagi gaya sudut dalaman.

Bukan sekadar itu, semua varian juga didatangkan dengan cermin sisi berkuasa boleh laras dan sensor undur; varian AV pula dilengkapi kamera undur dan cermin sisi yang boleh dilipat dengan hanya menekan butang.

Bumper hadapan lebih sporty
Model ini kini turut disokong sistem kemasukan dan penghidup enjin tanpa kunci, varian 1.3 turut dilengkapi sensor sisi hadapan.

Perodua Bezza 2020 tidak lengkap tanpa memberi perhatian kepada keselamatan pemandu dan penumpang, justeru model ini dilengkapi Sistem Bantuan Pemanduan Selamat (ASA) 2.0 yang ditawarkan menerusi varian AV.

ASA 2.0 yang membantu mengurangkan risiko pelanggaran terdiri daripada Pengesan Pejalan Kaki (sehingga 50 km/j), Amaran Pra-Pelanggaran (sehingga 100 km/j), Brek Pra-Pelanggaran (sehingga 80 km/j), Amaran Pergerakan Hadapan dan Kawalan Kesilapan Pedal.

Di samping itu, varian X kini didatangkan dengan Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) dan kawalan cengkaman yang mana sebelum ini hanya terdapat pada varian AV.

Perodua Bezza 2020 ditawarkan pada harga bermula bermula RM34,580 hingga RM49,980 seunit yang turut didatangkan dengan jaminan lima tahun/150,000 km (yang mana terdahulu).