RAKYAT Malaysia yang tinggal atau dalam perjalanan ke Timur Tengah dan rantau Teluk supaya lebih berhati-hati susulan ketegangan antara Amerika dan Iran.
Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah turut mengingatkan mereka agar mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan mereka.
Susulan itu katanya, mereka yang berada di rantau itu namun belum mendaftarkan diri kepada misi diplomatik Malaysia supaya berbuat demikian di kedutaan terdekat atau konsulat jeneral Malaysia dengan kadar segera.
"Pendaftaran boleh dilakukan menerusi emel," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat pasukan petugas belia mengenai hal ehwal luar dan diplomasi di Wisma Putra semalam.
Berikutan misi diplomatik Malaysia yang tidak aktif di Iraq, Syria dan Yaman, Saifuddin berkata rakyat Malaysia yang tinggal, bekerja atau melancong di sekitar rantau itu perlu mendaftar dengan kedutaan-kedutaan berikut:
* Rakyat Malaysia di Iraq mendaftar dengan Kedutaan Malaysia di Amman, Jordan;
* Mereka yang berada di Syria, mendaftar dengan Kedutaan Malaysia di Beirut, Lubnan;
* Rakyat Malaysia di Yaman, mendaftar dengan Kedutaan Malaysia di Muscat, Oman.
Sementara itu, susulan kebimbangan isu keselamatan di Timur Tengah, Saifuddin juga menasihatkan rakyat Malaysia supaya menangguhkan perjalanan yang tidak penting ke rantau berkenaan.
0 Comments