PENGARAH Kesihatan Negeri Johor, Dr Aman Rabu mengakui kes jangkitan influenza di negeri itu terkawal.
Dipetik Bernama, Aman berkata, walaupun tidak menunjukkan penyebaran wabak, pemantauan bagaimanapun masih tetap dijalankan bagi memastikan keadaan terkawal.
“Setakat ini tidak ada wabak. Influenza terdapat banyak jenis iaitu A, B dan C tetapi kita tidak spesifik untuk satu-satu influenza sahaja untuk dipantau.
“Pemantauan kita menyeluruh selagi ia melibatkan penyakit pernafasan dan selsema,” katanya.
Semasa ditanya sama ada pihaknya ada merekodkan kes wabak penyakit yang melanda China ketika ini, Dr Aman berkata tiada laporan diterima setakat ini.
Namun, sebagai langkah berjaga-jaga, pihaknya telah membuat saringan di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Senai bagi mengenal pasti pelancong atau individu dari negara berkenaan yang mempunyai simptom demam.
“Sekiranya ada (kes individu mempunyai simptom), kita buat siasatan lanjut dan kuarantin sekiranya perlu,” katanya.
Sementara itu, Kementerian Kesihatan telah melaksanakan prosedur saringan dan pemantauan di setiap pintu masuk antarabangsa susulan penularan virus selsema yang dilaporkan mempunyai persamaan dengan Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS).
Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan menjelaskan pihaknya kini giat memantau pola kejadian penyakit seperti influenza (ILI) dan Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) di seluruh negara.
Ia terutama membabitkan individu yang pernah melawat daerah Wuhan, China.
0 Comments