PEGUAM NEGARA, Idrus Harun digesa memberi penjelasan mengapa bekas menteri Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hanya dituduh di mahkamah selepas tujuh bulan kebenaran diberikan untuk kesnya dibicarakan.
Peguam Syahredzan Johan yang dipetik laporan media berkata, beliau nampak “wujud defisit keyakinan pada sistem pentadbiran undang-undang kita” dan ada baiknya jika penjelasan diberikan.
Beberapa pemimpin politik sebelum ini mengkritik tindakan mendakwa Ahli Parlimen Muar itu beberapa hari sebelum sidang Parlimen mahu dimulakan semula.
Malah Peguam Syed Saddiq, Gobind Singh Deo berhujah mengapa Ahli Parlimen Muar itu hanya didakwa sekarang jika kesalahan ini serius seperti yang dikatakan pihak pendakwaan.
“Izin untuk mendakwa ditandatangani pada Januari dan beliau hanya didakwa sekarang, iaitu beberapa hari sebelum Parlimen bersidang semula?” katanya.
Syed Saddiq didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua tuduhan, iaitu menyeleweng wang RM1 juta didakwa milik Pemuda Bersatu dan dana pilihan raya dikatakan milik sayap itu sebanyak RMRM120,000. Beliau mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.
Di Twitternya, Syed Saddiq menulis bahawa beliau rela ke mahkamah daripada menyertai Perikatan Nasional (PN) selain mendakwa sudah lebih setahun beliau diugut akan diheret ke mahkamah jika tidak bersama gabungan pemerintah itu.
![]() |
Syed Saddiq lebih rela dibicara dari sokong PN |
Sementara itu Syahredzan berkata, beliau tidak dapat menyimpulkan dengan pasti bahawa tuduhan terhadap Syed Saddiq bermotif politik namun hujah Syed Saddiq adalah “munasabah”.
“Apa yang Saddiq katakan itu masuk akal kerana kita tahu Perdana Menteri sekarang ini mungkin tiada majoriti lagi atau kalau ada pun majoritinya amat tipis. Maka setiap Ahli Parlimen penting untuk menentukan jatuh atau kekalnya kerajaan ini,” katanya.
“Kita pernah saksikan bagaimana Ahli Parlimen pembangkang tiba-tiba beralih arah dan menyokong Perdana Menteri selepas pihak berkuasa membuka siasatan ke atas mereka,” tambahnya dipetik.