KANAK-KANAK perempuan berusia 7 tahun, Nur Dinie Damia yang kritikal disyaki akibat jangkitan Influenza A dilapor meninggal dunia kira-kira jam 10.40 malam tadi.
Perkara itu dilapor media yang mendakwa mendapat pesanan dari bapanya, Muhammad Noor Ain, 38, menerusi aplikasi WhatsApp sambil memohon orang ramai mendoakan supaya roh anak bongsunya itu ditempatkan dalam kalangan golongan beriman.
“Anak saya dah tiada. Innalillahiwainailaihirojiun,” katanya dalam mesej ringkas menerusi WhatsApp
Muhammad Noor yang ditemui pemberita di luar ICU HSA pada siangnya dipetik berkata, anaknya mengalami jangkitan pada bahagian hati dan disahkan mengalami otak mati selepas menjalani imbasan pada tengah hari.
Difahamkan, Nur Dinie dimasukkan ke ICU HSA sejak empat hari lalu selepas kesihatannya merudum ketika dirawat di sebuah hospital swasta di Johor Bahru.
"Kesihatannya tiba-tiba merudum selepas mengalami demam minggu lalu.
“Hari ketiga demamnya masih tidak kebah menyebabkan saya membawanya ke klinik sebelum dia disahkan dijangkiti Influenza A sebelum dirujuk ke sebuah hospital swasta," jelasnya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Kesihatan dan Sumber Manusia negeri Johor, Aminolhuda Hassan berkata, selain Influenza, Nur Dinie Damia juga berdepan uga komplikasi lain yang menyebabkan perlu dirawat di ICU dan diletakkan di bawah pengawasan pakar.
Mengulas lanjut, Aminolhuda memberi jaminan keadaan wabak Influenza di Johor dalam keadaan terkawal dan boleh diuruskan.
Bekalan perubatan terutama antivirus Influenza di negeri itu jelasnya masih mencukupi.