Jakarta banjir: lebih 20 penduduk maut


HUJAN
lebat yang mengiringi malam tahun baharu menyebabkan banjir besar di ibu negara Indonesia.

Dalam kejadian dianggap terburuk sejak 2013 itu, sekurang-kurangnya 21 mangsa dilaporkan terkorban dalam kejadian itu, kata jurucakap Kementerian Hal Ehwal Sosial, Joko Hariyanto.

Mereka yang terkorban itu antaranya mengalami hipotemia, lemas dihanyutkan arus, tertimbus akibat tanah runtuh dan terkena renjatan elektrik.

Selain beberapa kawasan di ibu negara Jakarta, kawasan di bandar berhampiran Jakarta seperti Tangerang, Depok, Bekasi dan Bogor. Sebahagian kawasan kediaman penduduk dinaiki air sehingga dua meter.

Beberapa laluan kereta api terjejasm, manakala  Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma, yang mengendalikan pesawat komersial dan tentera, ditutup sementara kerana limpahan air di landasannya, menurut Kementerian pengangkutan.

Pihak berkuasa juga terpaksa memutuskan bekalan elektrik di kawasan banjir bagi mengelakkan risiko renjatan kepada penduduk.

"Kami telah menutup bekalan elektrik di banyak kawasan untuk mengelakkan lebih banyak kejutan elektrik," kata Ikhsan Asaad, seorang pegawai di syarikat tenaga PLN, dipetik AFP.

Sementara itu, dalam perkembangan awal pagi tadi, Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB) berkata setakat jam 8 pagi ini, lebih 30,000 mangsa banjir dilaporkan masih ditempatkan di pusat-pusat pemindahan sementara.

Menurut BNPB, beberapa kawasan banjir di Jakarta sudah beransur pulih, namun masyarakat diminta berjaga-jaga berikutan hujan diramalkan berterusan hingga Khamis.

Badan Meteorologi Klimatologi dan Geofisika (BMKG) dalam satu kenyataan menyatakan antara punca banjir itu adalah hujan lebat ekstrem yang mencatatkan bacaan 377 milimeter (mm), sedangkan rekod tertinggi pada 2007 mencatatkan bacaan 340 mm.

Bandar raya yang dihuni 30 juta penduduk itu kerap dilanda banjir semasa musim hujan di Indonesia.

Sementara itu, Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta meminta rakyat Malaysia di Jakarta dan kawasan sekitar mematuhi arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan dan jika memerlukan sebarang bantuan konsular, boleh menghubungi kedutaan Malaysia di talian +62 813 80813036.

Post a Comment

0 Comments