TIMBALAN Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu yang gagal mendapat sokongan majoriti daripada wakil-wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini digesa supaya bermuhasabah diri.
Gesaan itu dibuat Pengerusi KEADILAN negeri, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak yang menegaskan bahawa apa yang berlaku telah membuktikan bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) di negeri itu tidak ada keabsahan.
“Saya ingin nasihatkan Peja (Ahmad Faizal) untuk bermuhasabah diri setelah ditolak oleh parti komponen sendiri walaupun hanya sembilan bulan bersama.
“Ketika ini kita dilanda wabak Covid-19 maka jika pilihan raya negeri diadakan ia hanya akan memudaratkan rakyat. Namun apa yang jelas adalah Peja telah ditolak di dalam Dewan Undangan Negeri," tegasnya.
Sementara itu tegas Farhash, KEADILAN Perak akan memberikan kerjasama dengan kerajaan negeri yang akan dibentuk agar fokus kepada kebajikan rakyat tidak terabai.
Ahmad Faizal siang tadi berhadapan insiden memalukan apabila sebanyak 48 undi menolak usul percaya terhadapnya.
Dalam undian itu yang diadakan menjelang pembentangan Belanjawan negeri, hanya Adun 10 yang menyokongnya. Satu undi rosak atau berkecuali.
DUN Perak yang mempunyai 59 kerusi sekarang merangkumi 25 Adun BN yang semuanya daripada Umno, 16 daripada DAP, Bersatu (6), Amanah (5), PKR (3), PAS (3), dan Bebas (1).
Sebagai rekod, kerajaan Pakatan Harapan yang menerajui Perak pada pilihan raya umum ke-14 pada 2018 tumbang susulan Langkah Sheraton di peringkat pusat yang menyaksikan beberapa pemimpin kanan Bersatu dan KEADILAN berpaling tadah.
Faizal digesa muhasabah diri |
Sementara itu, anggota parlimen Kubang Pasu, Amiruddin Hamzah yang juga adalah bekas ahli bersatu secara sinis mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang juga adalah presiden Bersatu.
“Tahniah Presiden Bersatu. 3 MB dari Bersatu dilantik selepas PRU-14, baru tadi MB Perak dijatuhkan setelah Johor dan Kedah. Hebat!” katanya dalam ciapan di Twitter.
0 Comments