Calon Warisan yakin mampu beri yang terbaik


CALON Parti Warisan Sabah (Warisan) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, Datuk Karim Bujang yakin mampu memberi perkhidmatan terbaik sekiranya dipilih rakyat kawasan itu.

Katanya, pengalaman sebagai wakil rakyat sebelum ini akan dimanfaatkan sepenuhnya dalam menyampaikan suara rakyat Kimanis sekali gus memberi perkhidmatan terbaik kepada penduduk di kawasan berkenaan.

“Saya akan melakukan yang terbaik. Saya pun biasa menjadi ADUN. Saya tahu apa perlu dilakukan oleh (seorang) wakil rakyat,” katanya.

Sebagai rekod, Karim merupakan bekas ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan selama lima penggal, beliau pernah menjawat jawatan kanan dalam Kabinet Sabah.

Mengulas lanjut, Karim yang juga Ketua Bahagian Warisan Kimanis, bagaimanapun berkata beliau tidak mahu terlalu yakin, sebaliknya, akan terus bekerja keras bagi memastikan kemenangan parti pada pilihan raya itu.

Pada PRK kali ini, Karim akan berdepan satu lawan sama bersama calon Barisan Nasional (BN), Mohamad Alamin.

Parlimen Kimanis mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Bongawan dan Membakut dengan jumlah 29,664 pemilih layak mengundi, termasuk sembilan pengundi awal dan seorang pengundi tidak hadir berada di luar negara.

Pemilih itu terdiri 14,800 lelaki dan 14,864 perempuan dengan DUN Bongawan mempunyai 16,273 pemilih dan DUN Membakut 13,391 pemilih.

Post a Comment

0 Comments