Bob Lokman rebah ketika misi dakwah


PELAWAK
dan penulis lirik terkenal, Bob Lokman, 57, sedang dirawat di Hospital Universiti Teknologi Mara (UITM) di Sungai Buluh akibat beberapa komplikasi penyakit.

Bob atau nama sebenarnya, Mohd Hakim Lokman dilapor rebah ketika menyertai siri jelajah kuliah agama di Terengganu baru-baru ini.

Perkembangan terbaharu Bob dikongsikan rakannya, Dr Riduan Mohamad Nor di akaun Facebook Besut Berkat Sejahtera.

“Dia kerap mengerang kesakitan berikutan turut mengalami komplikasi paru-paru dan jantung,” katanya di laman Facebook tersebut.

Sementara itu, berita tersebut disahkan isteri kepada penulis lirik lagu Isabella itu, menurut Relawati Daud keadaan penulis lirik itu yang menghidapi penyakit buah pinggang bertambah membimbangkan apabila dia menerima kesan alahan selepas mengambil ubat.

“Kakinya membengkak, kering, bernanah hingga tumbuh bintik-bintik merah. Tapi selepas disapukan krim, tanda kemerah-merahan tu berkurangan," katanya.

Menurut Relawati lagi, jadual yang padat sejak beberapa hari kebelakangan ini membuatkan Bob kepenatan dan terpaksa dimasukkan ke hospital akibat jantung lemah selepas kekurangan oksigen.

“Abang mungkin boleh dilepaskan untuk pulang sekiranya air dalam badan kembali normal,” katanya dipetik.

Sebelum ini, Bob meneruskan kelangsungan hidup dengan membuka kedai makan sambil dibantu isteri dan arwah anak sulungnya, Mohamad Adam.

Namun setelah anaknya itu meninggal dunia dan ekoran masalah kesihatan yang dihadapi oleh Bob, perniagaan yang diusahakan itu terpaksa ditutup dan menumpukan kepada kerja dakwah.

"Kedai dah tutup, abang dah tak larat nak masak. Sekarang dia banyak tumpukan pada kuliah maghrib di masjid-masjid atau pun surau,” jelasnya sambil memohon agar peminat-peminat Bob dapat berdoa agar suaminya dikurniakan kesihatan agar dia boleh berdakwah seperti biasa.

Sebagai rekod, Bob pernah dimasukkan ke hospital yang sama pada 2015. Kali terakhir pada 2018, Bob dikejarkan ke hospital akibat masalah jantung.

Post a Comment

0 Comments