BEKAS tonggak tengah Pasukan Hoki Terengganu (THT), Syamiru Aiman Bidin dilapor meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam otak pagi tadi.
Timbalan presiden Persatuan Hoki Terengganu (PHT) Mohd Fikri Harun,berkata Allahyarham pernah menyarung jersi pasukan itu dari 2013 sehingga 2016 dan muncul juara liga.
Allahyarham Syamiru yang berusia 27 tahun itu juga menurutnya turut mewakili Terengganu dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2014 serta Piala Razak tahun lalu.
"Pemergiannya satu kehilangan besar buat sukan hoki di negeri ini kerana arwah seorang yang sentiasa memberi komitmen 100 peratus.
"Pengebumian dijangka dibuat selepas solat Asar di kampung kelahirannya di Kampung Kua, Kuala Berang," jelasnya.
Hujung bulan lalu, Allahyarham dilaporkan tidak sedarkan diri dan di bawah perhatian pakar di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.
Untuk rekod, Allahyarham berpengalaman beraksi untuk THT di bawah bimbingan Sarjit Singh serta berkongsi padang bersama Shahrun Nabil Abdullah, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil dan pasangan adik-beradik, Fitri dan Faizal Saari.
0 Comments