TdS 2019: Masalah teknikal jejas perlumbaan Hafizh


PERLUMBAAN
berbasikal siri Jelajah Selangor yang bermula semalam sememangnya menarik perhatian ramai.

Apa lagi apabila perlumbaan itu turut disertai  penunggang motosikal sensasi negara, Hafizh Syahrin Abdullah.

Malangnya peminat sedikit hampa kerana penampilan Hafizh dalam perlumbaan jelajah berbasikal profesional itu tidak berjalan begitu baik apabila terpaksa menarik diri selepas hanya sejam perlumbaan.

Hafizh yang mewakili Amskins Racing Club (ARC) berkata, beliau terpaksa menarik diri selepas melepasi jarak perlumbaan ke 50 kilometer berikutan masalah mekanikal terhadap gear basikalnya yang menyebabkan dia ketinggalan daripada kelompok utama.

"Bagi saya perlumbaan agak sukar dengan persiapan tidak mencukupi. Saya menghadapi masalah mekanikal apabila gear saya melompat ketika di permukaan tak rata.

"Saya sendiri tak sangka sejak permulaan lagi pelumba profesional sudah membuat serangan dengan kayuhan sangat laju," katanya.

Sebagai rekod, pada Sabtu Hafiz terlibat dalam perlumbaan motosikal FIM Endurance World Championship (EWC) Sepang 8 Hours di Litar Antarabangsa Sepang, manakala pada Ahad memandu dalam Piala Touring Car Dunia (WTCR) di litar serupa.

BACA:
Hafizh Syahrin gegar pentas lumba basikal
Sementara itu, Hafizh menyifatkan perlumbaan sulung dalam siri lumba basikal profesional itu sebagai satu permulaan baik untuknya.

“Bagi saya ini adalah permulaan baru bagi saya dan minta maaf kepada pasukan kerana tidak dapat menghabiskan perlumbaan," katanya lagi.

Sebagai rekod, pada Julai lalu, Hafizh menggegarkan pentas lumba basikal apabila mengungguli tempat kedua dalam satu acara lumba basikal tempatan.

Post a Comment

0 Comments