SPR perlu berani, jangan amal sikap berpihak - Anwar


DATUK SERI Anwar Ibrahim mengingatkan agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersikap berani, berwibawa dan tidak hanya berpihak kepada kerajaan pada setiap kali pilihan raya diadakan.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) itu berkata, suruhanjaya itu juga perlu bebas dan lebih aktif melakukan pelbagai usaha bagi memastikan proses pilihan raya yang bersih dan adil.

"Prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dalam PRN sebelum ini terlalu memihak kepada kerajaan, maknanya SPR tidak ada kekuatan untuk beri teguran dan pastikan pilihan raya itu bebas dan adil.

"Tugas SPR bukan sahaja ikut peraturan-peraturan kecil, ini suruh daftar pengundi Singapura pun tidak ada. Tiada usaha selain penjelasan biasa.

"Tugas SPR adalah mencari jalan, menyediakan kemudahan dan memudahkan orang keluar mengundi, bukannya bekerja sambil lewa," katanya dipetik laporan Awani.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada majlis pengumuman calon PKR dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi kawasan zon tengah dan zon timur di Dewan Serbaguna Kampung Kopok Baru di sini pada Sabtu.

Tambah pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu lagi, SPR sebelum ini juga tidak berusaha melaksanakan Undi18 sehingga PH memberi kata dua untuk menarik diri daripada memorandum persefahaman (MoU) antara pembangkang dan kerajaan.

"Apa yang berlaku itu merupakan antara faktor yang menyebabkan sistem demokrasi terus tercemar dan rosak di negara ini.

"Selama puluhan tahun demokrasi kita rapuh dan tercemar, banyak tonggak demokrasi itu dirosakkan.

SPR mesti berwibawa, bukan jadi alat politik


"Media tidak bebas sepenuhnya, media alternatif ada tetapi media arus perdana seperti televisyen masih dikuasai kerajaan," tambahnya.


Justeru beliau menegaskan, pembangkang juga masih tidak diberi ruang dalam media arus perdana seperti dijanjikan.

"Sebelum ini semasa saya bertemu Perdana Menteri, beliau telah dijanjikan calon pembangkang bagi pilihan raya akan diberi ruang dalam media yang dikuasai kerajaan," katanya pada majlis itu.

Post a Comment

0 Comments