KENYATAAN Presiden parti Pas, Abdul Hadi Awang yang mendakwa kononnya parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Amanah sebagai parti yang tertubuh dengan kehendak DAP dibidas.
Anggota Parlimen Sepang Mohamed Hanipa Maidin dalam satu kenyataan 'memulangkan paku buah keras' kepada Abdul Hadi dengan berkata bahawa sebagai seorang tokoh yang dianggap ulama, Abdul Hadi sepatutnya tahu mengenai dosa berbohong.
"Bagaimana jika tuduhan YB (Abdul Hadi) itu adalah dusta dan YB sendiri pun tahu ia dusta?
"Saya tidak boleh bercakap bagi pihak parti Muda, tetapi saya tahu dan arif sangat tentang sejarah penubuhan Amanah, kerana sejak dari awal saya terlibat secara aktif dalam penubuhan parti ini.
"Dan saya berani kata tidak ada sebarang penglibatan DAP. Dakwaan YB itu terlalu mengarut," soalnya dalam kenyataan yang tidak secara khusus menyebut nama Abdul Hadi.
Terdahulu dalam ucapan semasa pelancara jentera pilihan raya Perikatan Nasional (PN) di Johor, Abdul Hadi yang dilantik sebagai Duta Khas kepada perdana menteri oleh kerajaan PN mendakwa parti serpihan PAS_ Amanah dicipta oleh DAP bagi menarik 'orang Pas'.
Malah dakwaan sama turut diletakkan kepada Muda yang dipimpin bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Saddiq bin Syed Abdul Rahman.
Dakwaan mengenai penglibatan DAP dalam penubuhan Amanah - yang ditubuhkan hasil krisis dalaman PAS pada 2015 - bukanlah pertama kali diucapkan Abdul Hadi.
Momokan berkait parti DAP sering digunakan bagi menakut-nakutkan orang Melayu di negara ini.
Sebelum itu ahli parlimen Marang juga dilapor pernah mendakwa DAP adalah "anak tahi" kepada Parti Tindakan Rakyat (PAP) di Singapura.
Sementara itu Hanipa berkata, Abdul Hadi mungkin tidak suka dengan penjelasannya namun sekiranya anggota Parlimen Marang itu seorang yang jujur dia perlu bermuhasabah dan menerima hakikat.
"Suka tidak suka mungkin YB kena akui antara punca utama penubuhan Amanah adalah datang dari YB atau hasil kelemahan kepimpinan YB sendiri," tegas Ahli Jawatankuasa Amanan Nasional
Beliau turut mempersoalkan sama ada Abdul Hadi sudah lupa atau tidak kalimah "barua" yang dilafazkannya terhadap pemimpin dan ahli PAS yang tidak sehaluan dengannya semasa parti itu mengadakan muktamar di Kuala Selangor pada 2015.
Amanah sering dituduh parti ciptaan DAP |
"Atau YB juga sudah lupa tindakan YB sendiri yang tidak menghormati keputusan mesyuarat parti mengenai keputusan berhubung pencalonan menteri besar Selangor?
"YB yang tidak hormat keputusan parti, Presiden Amanah (Mohamad Sabu) yang dituduh ayam daging kerana secara amanah bawa keputusan parti dalam mesyuarat tertinggi Pakatan Rakyat," kata Hanipa.
Dia juga meningatkan bagaimana ahli parlimen Marang itu berdiam diri apabila pemimpin PAS yang tidak sehaluan dengannya dilabel dengan pelbagai cacian.
0 Comments