KEHADIRAN semula bekas Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli untuk kembali aktif dalam gelanggang politik sentiasa dialu-alukan, kata Presiden Parti KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar dalam sidang media selepas menyampaikan ucapan sempena Program Kenduri Rakyat memperingati Peristiwa Demonstrasi Baling dan Kebangkitan Rakyat 1974 di Padang Awam Kampung Lalang di sini, pada Ahad berkata, sebagai ahli KEADILAN dan rakyat Malaysia, Rafizi mempunyai hak untuk mengambil sebarang keputusan terutama membabitkan bidang politik dan demokrasi.
"Dia (adalah) ahli parti dan ada hak seperti mana semua ahli (yang lain serta rakyat Malaysia),
"kita (sentiasa) mengalukan penyertaan (Rafizi Ramli untuk kembali aktif dalam arena politik) dan ia harus (dan perlu) merangkumi semua, (sesiapa sahaja dialukan)," kata Anwar.
Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu berkata demikian susulan desas-desus Datuk Seri Saifudin Nasution Ismail, Rafizi serta Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak akan bertanding bagi merebut jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan akan datang.
Bagaimanapun Anwar menjelaskan belum menerima sebarang maklumat berhubung perkara itu dan menurutnya perkara berkenaan masih terlalu awal untuk diperkatakan.
"Saya tak ada maklumat apa lagi (mengenai nama calon yang mahu bertanding jawatan Timbalan Presiden), (ketika ini masih) terlalu awal (untuk diperkatakan)," tambahnya.
Pada Sabtu, Ketua Penerangan KEADILAN Perak, Muhamad Arafat Varisai Mahamad berkata, kehadiran semula pemimpin berpengalaman seperti Rafizi dalam barisan kepimpinan utama mampu mengukuhkan parti itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menurutnya, gabungan pemimpin lama dan baharu di dalam barisan kepimpinan tertinggi parti bakal mencetuskan kekuatan sebagai persiapan menghadapi musuh dalam pilihan raya akan datang.
Pada Disember 2019, Rafizi mengumumkan bersara daripada politik kerana mahu memberi tumpuan kepada usaha mendalami ilmu pengetahuan berkaitan teknologi terkini.
Bekas pengurus besar di Pharmaniaga dan Petronas itu mula menceburkan diri dalam politik bagi membantu Anwar, kemudian dikenali ramai susulan pendedahan berkaitan kontroversi Pusat Fidlot Nasional (NFC) oleh keluarga seorang bekas menteri.
Beliau turut dikenali sebagai arkitek yang merancang kepada kemenangan HARAPAN pada Pilihan Raya Umum lalu.
Dalam satu laporan media baru-baru ini Rafizi berkata beliau mengambil makklum desakan daripada akar umbi yang mahu beliau masuk ke gelanggang politik sekali lagi selepas berehat panjang.
Rafizi berkata, matlamatnya sebagai ahli politik sebelum ini sudah tercapai sebaik pertukaran kerajaan selepas PRU14.
Akar umbi mahu Rafizi kembali aktif |
“Sebagai manusia biasa, saya tidak boleh lari daripada mendengar gesaan dan pendapat ini, terutama apabila datang daripada sahabat yang lama bersama saya dalam KEADILAN.
“Saya sebenarnya agak keberatan sebab jiwa saya bukan dalam politik,” katanya dipetik laporan FMT.
0 Comments