Tak gentleman, Azmin digesa hadir mesyuarat


AHLI
Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali disifatkan seorang pemimpin yang tidak berkeperibadian.

Gambaran itu diberikan Pengerusi KEADILAN Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak susulan tindakan Azmin dan pengikutnya beramai-ramai meninggalkan kongres parti yang diadakan di Melaka pada minggu lalu.

"Kongres Nasional Parti KEADILAN Rakyat 2019 sekerat jalan belum habis dah lari buat sidang media memang tak 'gentleman', sindirnya dalam satu kenyataan. 

Kemelut diantara penyokong Azmin dan pendokong parti KEADILAN memuncak selepas  Azmin mengkritik keras  pemimpin parti itu secara terbuka dihadapan penyokongnya dalam satu Majlis Makan Malam di Kuala Lumpur. 

Majlis itu dibuat sehari selepas insiden kumpulan pro Azmin meninggalkan kongres yang diadakan parti itu kerana 'kononnya' merasa ucapan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan petikan sejarah hikayat 'si kitol' ditujukan kepada dirinya. 

Sebelum ini ada pihak memberi amaran akan berlaku provokasi bagi menghuru-harakan Kongres tersebut.

Sehari sebelum kumpulan pro Azmin memboikot kongres, berlaku pertembungan antara penyokong Azmin dan kumpulan berbaju hitam yang turut membabitkan pasukan keselamatan Kongres. 

Sementara itu,  Farhash yang juga adalah Setiausaha Politik Anwar Ibrahim mengingatkan Azmin agar  agar tidak sewenangnya menghina peranan individu lain dalam parti itu melalui kenyataan dibuatnya.

"Janganlah hina parti dan semua ahli reformis yang telah berjuang sama. Nak marah sampai hingga lupa yang diserang bukan sebarangan anak Ibrahim, tapi Datuk Seri Anwar Ibrahim!" katanya.

"Sudah-sudahlah tu meroyan di media, Datang mesyuarat jimat sikit daripada buat di rumah atau makan-makan di hotel," tambahnya lagi.

Sebagai rekod, Mohamed Azmin dilaporkan tidak pernah menghadiri mesyuarat peringkat tertinggi parti sejak dilantik semula sebagai Timbalan Presiden.
Walaupun beberapa kali peringatan telah diberikan, Azmin dan beberapa pemimpin lain termasuk penyokongnya, Zuraida Kamaruddin dilihat tidak berminat menghadiri mesyuarat yang wajib mereka hadiri itu. 

Tindakan kedua-duanya membangkitkan rasa tidak senang dikalangan pendokong KEADILAN.