PASUKAN skuasy negara menepati ramalan apabila menyapu bersih pingat emas acara berpasukan lelaki dan wanita pada Sukan SEA 2019.
Kejayaan Darren Rahul Pragasam yang menyumbang mata kemenangan buat Malaysia dalam aksi final berpasukan lelaki dengan kemengan 3-0 ke atas Indonesia menebus kekecewaan dialami ketika dikejutkan dengan kekalahan di tangan pemain Filipina, Rafael Yam pada aksi separuh akhir berpasukan lelaki pada edisi 2017 di Kuala Lumpur.
Kali ini, Darren memastikan kesilapan sama tidak berulang apabila dia menang ke atas Muhammad Faisal dari Indonesia, 11-5, 11-9, 11-5.
Terdahulu, Addeen Idrakie Bahtiar menyumbang mata pertama skuad negara apabila menewaskan Agung Wilant 11-8, 11-2, 11-3 manakala Ryan Pasqual menumbangkan Rahmad Diyanto 11-6, 11-2, 11-3.
“Ia kemenangan yang cukup bermakna terutama selepas kekalahan saya di tempat sendiri pada 2017.
“Banyak perkara yang diperkatakan selepas kekalahan saya itu tetapi itu adalah lumrah sebagai atlet dan menjadi pengajaran berguna buat saya.
“Saya gembira dapat membalas kepercayaan yang diberikan. Saya berterima kasih kepada semua termasuk rakan sepasukan, jurulatih dan SRAM (Persatuan Raket Skuasy Malaysia),” kata Darren dipetik BH.
Sementara itu, aksi final berpasukan wanita menyaksikan Malaysia menewaskan Singapura 3-0.
Mata pertama disumbangkan Rachel Arnold yang menang ke atas S Sneha 11-5, 11-6, 11-3 sebelum Lai Wen Li menyumbang mata kedua hasil kemenangan ke atas Sherilyn Yang 10-12, 11-6, 11-3, 11-4.
Ooi Kah Yan melengkapkan kemenangan pasukan negara selepas menundukkan Yukino Tan 11-5, 11-7, 11-8.
0 Comments