KETIKA seorang pemimpin dalam parti KEADILAN dilihat cuba mengukuhkan kedudukan politik termasuk dalam kalangan pemimpin pembangkang, lain pula kisahnya dengan seorang lagi arkitel yang menumbangkan UmnoBN.
Rafizi Ramli, individu yang terkenal dengan banyak pendedahan salah laku di kalangan pemimpin kerajaan sebelum ini dilihat tidak berminat untuk terus mengembangkan karier politiknya.
Dalam satu ciapan di laman sosial Twitternya Rafizi menjelaskan tidak akan kembali ke arena politik.
"Saya sudah jelaskan dalam tweet saya sebab secara jelas bahawa saya tidak akan kembali kepada politik.
"Ini tahap hidup saya apabila saya perlu belajar. Hanya melalui pembelajaran kita boleh menjadi lebih baik dan menyumbang lebih baik.
"Teruja untuk memberi tumpuan kepada AI, pembelajaran mesin & IoT - lihat apa yang saya dapati minggu lepas," katanya sambil memuat naik video.
Rafizi merupakan individu yang mendedahkan skandal penyelewengan National National Feedlot Corporation (NFC) dan banyak institusi terutama melibatkan kepentingan Bumiputra.
Beliau terjun kedunia politik ketika berada di puncak kerjayanya setelah dipujuk oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pada pemilihan parti yang lepas, Rafizi kalah tipis dalam jawatan Timbalan presiden KEADILAN kepada Mohammad Azmin Ali yang kini mencipta kontroversi dalam parti itu.
BACA: Tak gentleman, Azmin digesa hadir mesyuarat
Bercakap kepada wartawan luar Mahkamah Tinggi Shah Alam, bekas ahli parlimen Pandan itu berkata beliau mahu terus menjadi "orang biasa".
“Ramai yang kurang faham yang masa di dalam medan depan politik ambil masa cukup panjang dan tenaga serta masa daripada keluarga.
“Saya memang sebut dari awal saya tak berminat buat masa ini. Saya juga tak minat ada jawatan-jawatan bersabit kerajaan atau awam, saya ingat masa tiga hingga empat tahun ini untuk kembali jadi orang biasa.
“Masalah utama orang politik baik BN dan sekarang HARAPAN, bila menang jadi kerajaan, dia tak hidup seperti orang biasa, dia jadi lupa daratan,terpisah dengan realiti.
“Jadi saya rasa masa HARAPAN berkuasa adalah zaman saya kembali jadi orang biasa, cari makan macam orang biasa,” kata Rafizi.
Difahamkan, ketika ini Rafizi giat memberi tumpuan kepada perniagaan melibatkan pembelajaran berkaitan teknologi (AI).