SELEPAS Tanjung Piai, satu lagi pilihan raya kecil akan diadakan tidak lama lagi.
Ia susulan keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan pembatalan kemenangan Anifah Aman di kerusi Parlimen Kimanis dalam PRU ke-14 oleh Mahkamah Pilihan Raya.
Menurut Bernama, panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara Maimun Tuan Mat sebulat suara menolak rayuan Anifah untuk mengenepikan kpeutusan Mahkamah Pilihan Raya.
Maimun berkata hakim Mahkamah Pilihan Raya tidak membuat khilaf dan memang terdapat percanggahan dalam proses pilihan raya dan pelbagai pelanggaran terhadap undang-undang pilihan raya, yang memberi kesan kepada keputusan pilihan raya.
Hakim yang menganggotai panel ialah Hakim Besar Malaya Azahar Mohamed, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Wong Dak Wah dan dua hakim Mahkamah Persekutuan, Rohana Yusuf dan Nallini Pathmanathan.
Susulan keputusan itu difahamkan satu pilihan raya kecil perlu diadakan di kawasan Parlimen yang terletak di Sabah itu.
Pada 18 Jun 2018, calon Warisan di kerusi Parlimen Kimanis, Karim Bujang memfailkan petisyen dengan menamakan Anifah sebagai responden pertama dan Suruhanjaya Pilihan Raya sebagai responden kedua.
Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu menolak petisyen itu dan Karim kemudian membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan yang mengarahkan petisyen itu dibicarakan semula.
Pada 16 Oktober lalu, Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu Lee Heng Cheong mengisytiharkan kemenangan Anifah, bekas menteri luar, sebagai tidak sah dan terbatal.
Sementara itu, Pengerusi SPR Azhar Harun berkata pihaknya telah dimaklumkan berkenaan keputusan itu dan akan mengambil langkah yang diperlukan untuk mengadakan PRK di situ.
"SPR akur dengan keputusan tersebut dan malah akan mengambil langkah sewajarnya untuk mengelakkan insiden ketidakpatuhan terhadap peraturan pilihan raya.
"(Keputusan mahkamah) bermakna satu PRK perlu diadakan dalam masa 60 hari daripada tarikh SPR menerima perakuan dari mahkamah...Mesyuarat perlu diadakan dalam masa tidak kurang empat hari dan tidak lebih sepuluh hari daripada tarikh perakuan itu," katanya lagi.
Anifah dalam satu laporan berkata akan memutuskan langkah yang seterusnya selepas berbincang dengan penyokongnya.
Pada PRU ke-14, beliau menang di kerusi parlimen itu dengan majoriti 156 undi dalam pertandingan tiga penjuru selepas memperoleh 11,942 undi, mengalahkan Karim Bujang (Warisan dan Jaafar Ismail (Harapan Rakyat) yang masing-masing meraih 11,786 undi dan 1,300 undi.
0 Comments