Anwar bangga ada wakil rakyat guna dana sendiri bantu rakyat


 WAKIL rakyat tidak seharusnya menunggu dan bergantung kepada dana atau sumber kewangan daripada kerajaan semata-mata bagi membantu rakyat.

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta Exco Kerajaan Negeri yang mempunyai kewangan yang kukuh seharusnya bertindak secara proaktif membantu rakyat dengan menyumbang dana peribadi mereka sendiri terutama ketika rakyat berdepan pelbagai masalah ekoran pendemik Covid-19.

“Beberapa kali saya menekankan kepada semua ahli Parlimen, ADUN dan pemimpin politik, selain sumbangan diterima daripada kerajaan, setiap mereka mesti wajib mengeluarkan dana peribadi sendiri untuk membantu rakyat.

“Mereka bukan saja dapatkan wang dari kerajaan atau derma daripada pihak lain malah harus menunjukkan contoh yang baik dengan menyumbangkan dana sendiri,” katanya.

Anwar sebelumnya  berucap pada majlis pelepasan Jentera Peduli Nadi Rakyat di ibu pejabat KEADILAN semalam.

Untuk rekod, Jentera Peduli Nadi Rakyat akan menjelajah seluruh negara bermula di Pulau Pinang dan Kedah untuk menyampaikan bantuan makanan asas kepada rakyat yang memerlukan.

Program itu yang dianjurkan sayap pemuda parti itu dan
inisiatif negeri Selangor telah dilakukan sejak setahun lalu dengan kutipan dana daripada sumbangan peribadi, individu dan pihak syarikat.

“Walaupun program ini dilakukan secara bersendirian dengan anak-anak muda Angkatan Muda Keadilan (AMK) namun ia juga harus menjadi tanggungjawab kerajaan Persekutuan dan negeri untuk diselenggarakan dengan suntikan dana khas.

“Ini bagi membantu keluarga B40 dan M40 yang terkesan dengan pandemik ini,” katanya lagi.

Sementara itu menurut Presiden KEADILAN itu lagi, wakil rakyat bukan sahaja perlu memain peranan membawa usul dalam dewan, menerima pandangan dasar serta memberi teguran tetapi memberi khidmat yang terbaik. mereka tegasnya haruslah dapat memberi khidmat terbaik kepada rakyat terutama ketika berdepan pandemik Covid-19 ini.

Rakyat mesti dibantu hadapi pendemik
"Saya bangga dan bersyukur kerana ada Ahli Parlimen, ADUN, dan pimpinan parti di semua peringkat terus menerus dengan program mengurangkan beban rakyat ketika berdepan pandemik ini," katanya lagi.

Anwar sementara itu turut  meluncurkan insiatif  Wanita KEADILAN Johor (Bidadari) yang akan mengedarkan lebih 10,000 pek tuala wanita kepada warga yang memerlukan.

Katanya, Ikhtiar kumpulan ini wajar di teladani kerana mereka memberi kesedaran mengenai permasalahan kemiskinan haid yang berlaku ketika pandemik.

Post a Comment

0 Comments