PARTI Amanah Negara (Amanah) Wilayah Persekutuan menyifatkan kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan yang baru dilantik, Shahidan Kassim di Dewan Rakyat baru-baru ini sebagai tidak bertanggungjawab dan menjengkelkan.
Naib Pengerusinya, Ahmad Zamri Asaád Khuzami berkata, pihaknya merasa kesal dengan kenyataan Ahli Parlimen Arau itu yang sepatutnya menjaga kebajikan dan hal ehwal rakyat khususnya di Wilayah Persekutuan.
Beliau merujuk kenyataan Shahidan bahawa kerajaan tidak akan masuk campur dalam pembangunan Kampong Bharu dan membiarkan pemilik tanah berurusan sendiri dengan pemaju.
"Amanah Wilayah Persekutuan kesal dengan kenyataan tersebut yang secara langsung memberikan mesej bahawa kerajaan yang kononnya mewakili 'Keluarga Malaysia' ini ingin berlepas tangan dalam perkara penting yang melibatkan kebajikan dan urusan hartanah milik penuh orang Melayu di kawasan segi tiga emas di bandar raya Kuala Lumpur," katanya dalam kenyataan.
Dipetik portal Malaysia dateline, Ahmad Zamri turut menegaskan sekiranya kerajaan mengambil sikap mudah dengan membiarkan segalanya diuruskan oleh pemilik tanah dan pemaju, beliau mencadangkan supaya PPKB dimansuhkan kerana ia akan hanya membazirkan duit rakyat dan tidak berfungsi sepertimana objektif utama penubuhannya di bawah Akta 733 tersebut.
"Sekiranya itulah pendirian yang diambil oleh kerajaan, Amanah Wilayah Persekutuan mempersoalkan apakah fungsi dan peranan Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PPKB) yang ditubuhkan dan diberikan bajet yang besar setiap tahun.
"Ia kerana fungsi utama PPKB ini seperti yang dinyatakan di bawah Seksyen 14 Akta Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu 2011 (Akta 733) ialah untuk mengurus, menyelaras dan membantu para pewaris dan pemilik tanah dalam segala urusan yang melibatkan pembangunan Kampong Bharu," tambah Ahmad Zamri lagi.
Sementara itu, pihaknya turut mempersoalkan peranan Ahli Parlimen Titiwangsa, Rina Harun yang menurutnya mengambil sikap diam membisu dalam isu Kampong Bharu.
Menteri itu katanya gagal memberikan apa-apa solusi atau menyuarakan permasalahan pemilik serta pewaris tanah Kampong Bharu berkenaan hala tuju pembangunan di kawasan tersebut.
"Berbeza dengan konsep pembangunan yang dicadangkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) sebelum ini dengan harga RM1,000 sekaki persegi yang ditawarkan dan empat model pembangunan yang dicadangkan serta beberapa kelebihan lain yang telah pun mendapat persetujuan sebahagian besar pemilik tanah.
![]() |
K'jaan Mahiaddin dan Ismail dilihat gagal |
"Akhirnya menteri dengan mudah berlepas tangan dan tidak langsung menjaga kebajikan serta kepentingan penduduk dengan menyerahkan segalanya kepada pemilik untuk berurusan sendiri dengan pemaju di samping ugutan untuk menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960," katanya lagi.
0 Comments