Kementerian masih kaji masa depan vape


KEPUTUSAN
sama ada penggunaan rokok elektronik atau ‘vape’ perlu dilarang ataupun dibenarkan dengan kawalan pada masa akan datang masih di peringkat kajian.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, pihaknya masih memerlukan lebih banyak data mengenai perkara itu dan draf bagi peraturan kawal selia rokok elektronik berkenaan ketika ini masih di peringkat permulaan.

Beliau berkata, pada dasarnya, penggunaan vape masih berbahaya seperti mana rokok tembakau kerana 90 peratus kandungannya masih melibatkan nikotin.

“Oleh itu, kita perlu juga menjaga golongan tidak merokok yang tidak mahu terdedah kepada asap rokok sekunder," katanya.

Terdahulu pengguna rokok elektronik di negara ini menggesa kerajaan meregulasi tanpa mengharamkan penggunaannya.

Berdasarkan kajian, penggunaan rokok elektronik dianggap lebih selamat berbanding rokok konvensional.

Berbanding lebih 4000 bahan kimia yang terkandung dalam rokok konvensional. pengguna dan pengusaha vape di negara ini menegaskan bahawa sebatian utama menghasilkan cecair vape adalah selamat.

Malah desakan mereka turut disokong kajian sebelum ini yang dilakukan oleh sebuah universiti di United Kingdom yang mendapati penggunaan rokok elektronik bagi menghentikan ketagihan dikalangan penghisap rokok konvensional lebih berjaya berbanding penggunaan gula-gula getah atau tampalan berhenti merokok.

Sementara itu, merujuk kepada kes seorang remaja lelaki dimasukkan ke Hospital Nukleus Labuan pada 8 November lepas bagi menerima rawatan untuk kerosakan bahagian dalaman paru-paru yang didakwa berpunca dari vape, Dr Boon Chye berkata, pihaknya masih menyiasat punca kes itu.

Media sebelum ini melaporkan, insiden kematian melibatkan rokok elektronik di Amerika Syarikat (US) meningkat mendadak. namun ia dipercayai berpunca dari penyalahgunaan peranti itu dengan menggunakan cecair mengandungi bahan aktif ganja, Delta-9-tetrahydrocannabinol (THC) dan minyak vitamin E di pasaran gelap.

Post a Comment

0 Comments