TEKANAN pihak tertentu yang mendakwa KEADILAN berniat jahat dalam memecat seorang Ahli Majlis Pimpinan Pusat-nya mendorong Setiausaha Agung parti itu mendedahkan isi surat dihantar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Datuk Seri Saifuddin Nasution dalam satu sidang media di Pulau Pinang semalam mendedahkan bahawa parti itu menerima surat itu pada 23 Oktober lalu.
Didalam surat yang dikatakan 'terkhilaf' dihantar itu SPRM secara spesifik menyatakan nama pesalah, kesalahan yang dilakukan, tarikh dan lokasi ia didakwa berlaku.
Turut dinyatakan juga ialah maklumat berkenaan individu yang disoal siasat.
Menurut surat itu, Zakaria Hamid - yang merupakan bekas setiausaha politik Menteri Kerja Raya Baru Bian - didakwa menawarkan projek kementerian itu yang bernilai RM20,000 kepada beberapa pemimpin peringkat menengah.
Tawaran itu difahamkan berlaku ketika beliau bertanding untuk kerusi MPP dalam pemilihan parti yang lalu.
Syor timbalan pendakwa raya
Sementara itu selain membuat kesalahan menawarkan projek kementerian kepada pemimpin peringkat menengah yang dipercayai bagi membolehkannya dipilih sebagai MPP, Zakaria juga didakwa cuba meyakinkan pemimpin setempat bahawa dia bakal mendapat peruntukan berjumlah RM300,000 dari sebuah kementerian.
"(Surat SPRM itu juga menyatakan) beliau juga memaklumkan bakal mendapat peruntukan berjumlah RM300,000 daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk dihabiskan sebelum hujung tahun 2018," kata Saifuddin lagi.
Menurut sumber, surat itu juga menyebut Zakaria meminta para pemimpin berkenaan untuk memohon peruntukan daripada penyelaras parlimen Bera. Tindakan Zakaria itu disyaki sebagai usaha untuk mendapatkan undi dalam pemilihan.
"Ada juga pernyataan tuntutan daripada DPP (timbalan pendakwa raya) yang mengesyorkan tindakan diambil terhadap Zakaria," kata Saifuddin.
Tambah Saifuddin, keseluruhan surat itu telah ditunjukkan kepada MPP. Maka tegasnya tindakan pemecatan yang dibuat parti baru-baru ini adalah berdasarkan pernyataan tuntutan daripada pihak berkuasa berkenaan siasatan rasuah yang tertinggi di negara ini.
Difahamkan, peruntukan RM300,00 yang disebut itu adalah dari Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Kementerian tersebut diterajui Zuraida Kamarudin, seorang daripada ahli MPP yang menandatangani surat menuntut Datuk Seri Anwar memohon maaf atas pemecatan Zakaria.
0 Comments