MCA bantah jika subjek bahasa Jawi diwajibkan


SEKUTU Umno dalam Barisan Nasional (BN) menyuarakan tentangan terhadap pelaksanaan paksa pembelajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular yang ingin diperkenal kerajaan.

Memetik laporan Berita Harian, Ketua Pemuda MCA, Nicole Wong, berkata pihaknya berpendirian pembelajaran tulisan Jawi seharusnya hanya dilaksanakan secara sukarela sebagai salah satu cabang seni dan tidak dijadikan subjek utama dengan memasukkannya ke dalam silibus subjek.

“Pendirian kita berasa tak perlulah masukkan ke dalam silibus atau perlu diajar secara wajib.

“Kita boleh terima jika ia diajar melalui kelas tambahan, kamu tidak boleh paksa orang untuk belajar Jawi, sebaliknya boleh belajar jika anda minat secara sukarela,” katanya kepada pemberita.

Nicole sebelumnya ditemui pada Perhimpunan Agung Tahunan Pemuda MCA ke-55 di Kuala Lumpur semalam.

Ogos lalu, jemaah menteri memutuskan pengenalan tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu kepada murid Tahun 4 Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) diteruskan mulai tahun depan.
 
Nicole berkata, kerajaan seharusnya mendengar suara dan kebimbangan kaum lain terhadap kesan pelaksanaan pembelajaran tulisan Jawi sekiranya dilakukan secara wajib.

Khamis lalu, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menolak permohonan sebuah parti politik yang mahu menghalang pelaksanaan pembelajaran tulisan Jawi.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Amarjit Serjit Singh dalam keputusannya menolak permohonan parti Gerakan itu dengan alasan Jawi sebahagian daripada Bahasa Malaysia yang merupakan bahasa kebangsaan.

Post a Comment

0 Comments