DESAKAN kumpulan dipercayai dari kem penyokong Mohammed Azmin Ali, agar Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon maaf susulan pemecatan seorang Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu tidak akan dilayan.
Bercakap kepada media selepas menghadiri Majlis Dialog Perada Islam Confucianisme di Pusat Konvensyen Arena Spice di Pulau Pinang semalam, Anwar berkata kenyataan bersama yang dikeluarkan bagi menuntut permohonan maaf tersebut juga diragui.
Tambahnya, sebahagian kenyataan yang dikeluarkan oleh kononnya oleh 20 Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi itu seolah-olah telah diubahsuai dan dipermainkan pihak tertentu.
Beberapa pemimpin yang menandatangani kenyataan itu tegas Anwar telah menafikan sebahagian isi kandungan dalam kenyataan tersebut.
“Umpamanya ada kenyataan yang dibuat kononnya oleh 20 orang, tapi sebenarnya tidak sampai pun sebab salah seorangnya hadir mesyuarat MPP dan seorang sudah dipecat jadi tinggal 18.
“Dalam kenyataan itu mereka umpamanya membantah dan mendesak Presiden untuk mohon maaf Itu menurut Tian Chua dan Sivarasa serta beberapa orang lain, ia tiada dalam kenyataan (asal).
“Maknanya kenyataan itu juga dipermainkan, tidak semuanya benar dan ini diperakui oleh mereka sendiri,” katanya.
Difahamkan, kenyataan mendesak permohonan maaf itu ditandatangani Azmin, Amiruddin Shaari, Zuraida Kamaruddin, Saifuddin Abdullah dan 13 anggota MPP termasuk Tian Chua dan Sivarasa.
Ia turut ditandatangani Zakaria Hamid yang dipecat dari parti itu minggu lalu.
Anwar sementara itu berkata, beliau menunggu pihak tersebut menjawab dakwaan bahawa ada manipulasi telah dilakukan terhadap isi kandungan kenyataan tersebut.
"Kenyataan perlu dipersetujui semua tetapi ada bahagian yang tiada dalam draf. Biar mereka jelaskan perkara itu dulu," katanya lagi.
0 Comments