K'jaan mahu perluas MySalam untuk golongan M40


SKIM
perlindungan MySalam yang diperkenalkan kepada golongan B40 sebelum ini bakal diperluas kepada golongan M40.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah, berkata perkara itu sedang diperhalusi bagi memastikan lebih ramai individu yang berpendapatan tidak melebihi RM100,000 setahun, layak menikmati perlindungan itu mulai tahun depan.

“Apabila mereka berada dalam kelompok gaji kira-kira RM8,000 sebulan yakni pendapatan tahunan mereka di bawah RM100,000 maka mereka layak menerima manfaat Skim Perlindungan Mysalam, cuma LHDN masih lagi mengumpul data.

“Kita juga perluaskan dari 18 tahun sehingga 65 tahun berbanding sebelum ini dari 18 tahun sehingga 50 tahun mulai 2020.

“Hasrat kerajaan adalah untuk melihat ramai rakyat yang akan mendapat manfaatnya,” katanya.

Sebagai rekod, MySalam adalah skim perlindungan kesihatan takaful percuma yang diperkenalkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk 4.3 juta individu sekiranya menghidapi penyakit kritikal atau dimasukkan ke hospital.
 
Sementara itu jelas Amiruddin, kerajaan kini sedang giat untuk menyalurkan maklumat secara terus kepada masyarakat mengenai skim berkenaan pada progam bersama rakyat.

Katanya, ia adalah untuk memastikan lebih ramai rakyat terutama di kawasan luar bandar memahami skim itu dengan lebih baik.

Sebelum ini, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada Pembentangan Belanjawan 2020 pada Oktober lalu, mengumumkan skim berkenaan diperluaskan mulai 1 Januari 2020 kepada tiga kategori antaranya ke atas 45 penyakit kritikal termasuk penyakit terminal dan polio berbanding 36 penyakit sedia ada.

Perluasan itu akan memberi manfaat kepada kira-kira lima juta rakyat yang layak.

Post a Comment

0 Comments