Banjir: Air naik hingga 2 meter di Pasir Puteh



HUJAN
lebat berterusan sejak semalam di jajahan Pasir Puteh telah menyebabkan kira-kira 16 kampung di naik air. 

Memetik laporan Sinar, antara kampung terjejas ialah Daram Buaya, Batu Hitam, Saring, Kelubi, Tok Kundur, Gong Keding, Gong Cokoh, Gong Pasir, Gong Tengah, Panggung Tiga Daerah, Seligi, Padang Pak Amat, Tok Sudin, Kampung Baru dan Bukit Gedombak.

Air dilaporkan naik sedalam kira-kira 2 meter. 

Berdasarkan laporan yang memetik portal Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), setakat jam 4.20 petang tadi, sebanyak enam buah pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka di jajahan itu iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Jawa 2, Canggai, Sungai Petai, Wakaf Raja dan Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Kamil 1 serta Kompleks Dewan Kamil.

Seramai 474 mangsa daripada 129 keluarga telah dipindahkan ke PPS ekoran limpahan air akibat hujan lebat.

SRK Kamil 1 menempatkan mangsa banjir paling ramai di jajahan ini membabitkan 172 mangsa.

Anggota pasukan penyelamat yang terdiri daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Rakyat (Rela) telah dikerahkan bagi menyelamatkan penduduk.

 

Post a Comment

0 Comments