SEBANYAK RM20 juta telah diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan bagi pelaksanaan projek Rancangan Tebatan Banjir di Membakut, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Jelasnya, peruntukan diluluskan dalam Pelan Pusingan Keempat, Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) itu akan dilaksanakan dalam RMK12 (2021-2025) selepas kajian mengenal pasti masalah dan langkah penyelesaian terbaik mengatasi masalah banjir di kawasan tersebut selesai dijalankan.
Bercakap kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir Beaufort dan Membakut baru-baru ini, Shafie berkata, kajian itu antara lain melibatkan Pelan Induk Tebatan Banjir Lembangan Sungai Membakut merangkumi empat batang sungai iaitu Sungai Membakut, Sungai Damit, Sungai Terusan dan Sungai Binsulok.
"Projek pembangunan tebatan banjir itu amat penting dalam memastikan masalah banjir yang sering melanda Membakut termasuk kawasan berhampiran seperti Beaufort, Kuala Penyu dan Kimanis dapat diatasi secara lebih efisien.
”Ini adalah insiatif untuk kita merealisasikan mitigasi banjir di sini termasuk mengorek dan mendalamkan sungai berhampiran bagi membolehkan saliran air lancar seterusnya sungai tidak cetek atau bertakung sehingga mengakibatkan banjir.
“Kita akan tubuh sebuah jawatankuasa dan Setiausaha Kerajaan Negeri (Datuk Safar Untong) akan memantau kerangka rancangan mengatasi masalah banjir di kawasan ini,” katanya dipetik.
Mohd Shafie berkata projek mitigasi banjir itu juga penting memandangkan kekerapan banjir di Membakut yang agak tinggi telah menjejaskan penduduk setempat, jalan perhubungan, kawasan pertanian dan bekalan air bersih.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Shafie berkata, kerajaan negeri juga bercadang mewujudkan kawasan khusus bagi PPS supaya bangunan sekolah tidak digunakan untuk menempatkan mangsa banjir.
0 Comments