SEBUAH pertubuhan anti rasuah, menggesa tindakan punitif diambil terhadap mana-mana Ahli Parlimen yang enggan mengisytiharkan harta mereka.
Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) yang membuat gesaan itu berkata, pihaknya beranggapan Perintah Tetap yang ada “tidak cukup kuat” untuk memaksa Ahli Parlimen membuat pengisytiharan itu.
“Jelas, Perintah Tetap sahaja tidak cukup kuat untuk memaksa ahli Parlimen mengisytiharkan aset mereka sebagai sebahagian akauntabiliti mereka sebagai penggubal undang-undang.
“C4 percaya tindakan punitif sebenar mesti dikenakan terhadap mereka yang enggan mematuhi keperluan itu,” kata Pengarah Eksekutifnya, Cynthia Gabriel dalam satu kenyataan.
Difahamkan, hanya 160 daripada 222 ahli Parlimen mengisytiharkan aset mereka kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sehingga 5 Dis lalu.
Sementara itu, Cynthia berkata, pihaknya menggesa pengisytiharan aset dikanunkan, dan tindakan punitif dinyatakan dengan jelas.
Apabila ia dikanunkan jelasnya, kaedah pengawalseliaan yang betul dengan tindakan punitif akan digariskan dengan jelas.
Beliau berkata, kerajaan harus memastikan undang-undang baru itu terpakai kepada penggubal undang-undang dan pegawai awam di semua peringkat dalam kerajaan supaya pengisytiharan aset diumumkan.
Cynthia juga menyeru speaker Dewan Rakyat menggantung ahli Parlimen yang enggan mengisytiharkan aset mereka, sambil berkata tamabahan masa 2 bulan itu menunjukkan “banyak kelonggaran kepada Ahli Parlimen yang bersalah”.
0 Comments