ORANG ramai di Tanah Merah mengeluh kerana bas yang mereka tunggu tidak kunjung tiba hari ini gara-gara tindakan mogok yang dilancarkan oleh pemandu bas henti-henti Cityliner.
Tindakan mogok itu bukan sahaja menyusahkan pengguna yang mahu melakukan urusan seharian, ia turut dilapor telah menyebabkan perkhidmatan bas itu di Kelantan lumpuh.
Seorang pengguna pengangkutan awam Zaidi Che Soh, 47, yang dipetik laporan Bernama berkata ketiadaan perkhidmatan bas menyukarkannya untuk berulang alik ke tempat kerja.
"Selalunya saya menggunakan perkhidmatan bas ini untuk ke tempat kerja, hari ini tunggu-tunggu bas tidak sampai terpaksa menggunakan perkhidmatan kereta sewa dan sampai lewat ke tempat kerja.
"Sepatutnya perkara ini perlu dimaklumkan lebih awal kepada pengguna supaya memudahkan untuk membuat perancangan lain," katanya.
“Mogok itu menjejaskan operasi bas dengan laluan yang meliputi pelbagai bandar, dari 6 pagi hingga 9 malam,” kata satu sumber lain.
Difahamkan, tindakan mogok oleh 100 pemandu itu dibuat kerana mereka tidak menerima gaji sejak 2 bulan lalu.
Syarikat Kenderaan Melayu Kelantan (SKMK) Sdn Bhd yang mengendalikan operasi bas Cityliner, bagaimanapun enggan mengulas lanjut ketika dihubungi Bernama.
Sebelum ini, tersebar satu rakaman audio di WhatsApp, mendakwa perkhidmatan bas terganggu susulan mogok tersebut.
Pada Nov 2009, 110 pemandu bas Cityliner pernah mengadakan mogok membantah kegagalan pengurusan memperjelas sebab-sebab gaji mereka dipotong sebanyak RM100 sebulan.
Mogok yang bermula antara 6 pagi dan berakhir 12.15 tengah hari menyebabkan beribu-ribu pengguna pengangkutan awam tersebut terkandas.
0 Comments