PASUKAN bomba dan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) terpaksa di kejarkan bagi mengalihkan dua kontena mengandungi bahan kimia dilapor terbalik di Pelabuhan Klang pagi tadi.
Difahamkan, sebelumnya lori membawa bahan kimia jenis Hydrogen Peroxide, UN 2014 itu berhenti di tepi pinggir jalan di Taman Perindustrian Pulau Indah sebelum tiba-tiba terbalik.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor Penguasa Kanan Bomba I Hafisham Mohd Noor berkata, pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang menerima panggilan kecemasan pada jam 3.34 pagi.
Anggota dan pegawai dari BBP Pelabuhan Klang dengan bantuan HAZMAT dari BBP Shah Alam telah digegaskan segera ke tempat kejadian.
"Kita dapati treler itu membawa muatan dua kontena dengan setiap satu mengandungi 18 tangki IBC yang masing-masing di dalamnya mengandungi kimia seberat 1,150 kilogram," katanya.
Hafisham berkata, lori terbabit dipercayai tiba-tiba terbalik berikutan struktur tanah lembut di kawasan itu.
Bagaimanapun Hafisham berkata, hasil bacaan menunjukkan bahan kimia itu selamat dan terkawal.
"Setelah didapati selamat, bomba menyerahkan operasi kepada pihak syarikat bagi pemindahan dan pembersihan kawasan.
"Kerja kawalan dan pembersihan bahan kimia itu selesai sehingga jam 1 tengah hari," katanya lagi.