PENYANYI Roxette, Marie Fredriksson meninggal dunia pada usia 61 tahun pada Isnin selepas 17 tahun berjuang melawan kanser, lapor agensi berita antarabangsa.
Marie yang berasal dari Sweden bergandingan dengan Per Gessle pada 1986 dan mewujudkan kumpulan Roxette.
Gandingan penyanyi pop itu amat terkenal, album mereka terjual lebih 75 juta di seluruh dunia serta mencatat 19 kali carta Top 40.
Roxette terkenal dengan lagu hitnya, ‘It Must Have Been Love’, sebagai runut bunyi filem pemecah panggung 1990-an, Pretty Woman selain Joyride, Listen To Your Heart dan The Look.
Satu kenyataan dari keluarga mendiang yang dipetik akhbar Mirror berkata " Kematian Marie Fredriksson diratapi suaminya, Mikael Bolyos dan dua anak mereka (Inez Josefin, 26, dan Oscar, 23),”
Mendiang penyanyi itu akan disemadikan dengan hanya dihadiri anggota keluarga, menurut kenyataan sama.
Marie sebelum ini berjuang melawan ketumbuhan otak pada 2002, didiagnosis selepas rebah di rumahnya.
Doktor memberi amaran, beliau hanya memiliki 20 peratus peluang untuk hidup namun berupaya pulih selepas rawatan panjang dan menjerihkan.
Sementara itu, rakan gandingannya, Per juga melahirkan rasa sedih dan penghormatan di laman tweetnay: “Masa berlalu begitu pantas. Tidak lama dulu kita berkongsi impian mustahil untuk dicapai.
“Impian itu akhirnya dicapai! Saya berbangga bertemu bakat dan kemurahan hati anda. Semua kasih sayang saya ditujukan kepada anda dan keluarga. Segala-galanya tidak akan sama.” tambahnya.
0 Comments