DATUK Seri Anwar Ibrahim tidak mempunyai sebarang halangan, malah cukup bersedia untuk memberi keterangan kepada pihak polis berhubung tuduhan seorang individu terhadapnya.
Presiden KEADILAN itu, melalui satu kenyataan media hari ini berkata, beliau menegaskan untuk berbuat demikian bagi membantu polis menyiasat tuduhan terhadapnya itu.
"Merujuk kepada dakwaan fitnah terbaru terhadap saya, saya berterima kasih kepada pihak polis kerana telah menyegerakan siasatan mereka.
"Ingin saya tegaskan bahawa saya bersedia memberi keterangan kepada pihak polis dalam kadar segera untuk membantu siasatan," katanya.
Awal hari ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata polis akan memanggil Anwar dan beberapa saksi lain yang berkaitan untuk memberi keterangan susulan dakwaan Muhammed Yusoff Rawther bahawa dirinya cuba dicabul.
Bekas pegawai penyelidik itu membuat perakuan bersumpah mendakwa Anwar cuba mencabulnya pada 2 Okt tahun lepas.
Bagaimanapun, perkara itu dinafikan Anwar yang mendakwa sedang berkempen pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Port Dickson pada tarikh berkenaan.
Malah semakan terhadap aktiviti Anwar juga memihak kepada alibi dikemuka Anwar.
0 Comments