Caj penghantaran GrabFood naik hingga RM9


SYARIKAT
perkhidmatan hantaran makanan, GrabFood mengumumkan kenaikan kos penghantaran daripada RM5 hingga RM9 bagi setiap pesanan bermula Isnin lalu.

Memetik laporan Awani, peningkatan itu dilakukan sebagai sebahagian usaha syarikat itu meluaskan radius penghantaran dalam memenuhi permintaan pelanggan untuk memesan makanan daripada pelbagai pilihan restoran.

Difahamkan, caj penghantaran pesanan dari restoran yang jaraknya kurang atau masih dalam lingkungan pada 8 kilometer (km) kekal pada kadar RM5.

Manakala caj RM6 dikenakan bagi pesanan dari restoran-restoran berjarak sekitar 8 hingga 10 km sementara RM7 untuk pesanan dari kedai makan yang berada dalam lingkungan 10 hingga 12 km.

Keputusan ini dibuat selepas pertimbangan jarak perjalanan jauh yang perlu ditempuhi penghantar GrabFood. Namun syarikat itu berkata, peningkatan itu hanya sementara kerana mereka masih menilai semula keperluan pelanggan.

Sementara itu, GrabFood turut mengumumkan pemberhentian semua pelan langganan bulanan dan Pelan Deluxe GrabFood bermula esok.

Kesemua tawaran dalam Pelan GrabFood Deluxe yang dihentikan ialah 15 penghantaran percuma, tiga kupon RM10 dan baucar diskaun 40 peratus.

Bagaimanapun, pelanggan semasa masih boleh memperbaharui pelan mereka untuk kali terakhir dan ditawarkan kupon diskaun sebanyak 50 peratus.

Post a Comment

0 Comments