TIDAK keterlaluan sekiranya penduduk di Kemaman di Terengganu membuat andaiaan sekiranya banjir kali ini akan lebih buruk berbanding yang pernah mereka alami sebelum ini.
Ia susulan keadaan air Sungai Tebak yang naik mendadak sehingga melimpah dalam tempoh singkat semalam.
“Hujan sejak dari pagi walaupun sekejap tetapi hujan turun lebat mengakibatkan air naik dengan cepat.
“Kami terus berpindah ke dewan dan tidak tahu bagaimana keadaan di rumah,” kata seorang penduduk, Azirah Mohd Daud seperti dilapor Awani.
Dalam kejadian semalam, kira-kira 25 keluarga yang terdiri dari 100 orang telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Balai Raya Kampung Padang Kubu setelah kawasan itu dinaiki air.
Menurut mangsa, mereka berpindah ke pusat pemindahan sementara kira kira jam 7 petang Ahad.
Sementara itu, seorang pekerja kilang sawit, Mohammad Fazul Shafiq mengakui keadaan air deras berbanding kejadian banjir sebelum ini.
“Kali ini air laju sedikit berbanding sebelum ini. Dalam masa setengah jam sahaja air sudah naik dan hujan tidak berhenti dari petang semalam (Sabtu) lagi,” katanya menurut laporan serupa.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Padang Kubu, Harun Ismail turut menyifatkan kejadian kali ini sebagai lebih buruk berbanding sebelum ini.
Dalam pukul 12 tengah hari air naik dengan cepat dan kalau melihat kepada keadaan cuaca memang bertambah buruk,” katanya.
0 Comments