KENYATAAN Naib Presiden KEADILAN Zuraida Kamaruddin pada pertemuan bersama penyokong Azmin Ali di Kuala Lumpur malam tadi yang seolah-olah mencabar parti untuk memecatnya dilihat sangat menghairankan.
Sebelum ini ada pihak mendakwa, berbanding membuat pengumuman meninggalkan parti, tindakan seperti itu sememangnya sengaja dirancang kem Azmin supaya mereka dilihat sebagai golongan teraniaya sekaligus dapat meraih simpati ramai.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung parti itu, Saifuddin Nasution Ismail melihat amarah yang dilepaskan Zuraida itu sebagai manifestasi terhadap apa yang telah dilakukannya sebelum ini.
Kata Saifuddin, tentu Zuraida sudah melakukan sesuatu kesalahan dan pelanggaran disiplin parti sehingga beliau boleh mengunggap rasa sanggup untuk disingkirkan.
"Hanya orang yang jiwanya bersalah yang menyebut soal pemecatan.
"Orang yang tahu bahawa apa yang dilakukannya itu melanggar disiplin parti, orang itu sendiri yang akan keluar dari mulutnya bahawa dia bersedia untuk dipecat.
"Itu adalah sebagai pengakuan bersalah (admission of guilty) pada hemat saya," katanya semasa ditemui media di Kuala Lumpur hari ini.
Semalam kumpulan yang menyokong Azmin Ali, berkumpul di sebuah hotel di Kuala Lumpur untuk menyatakan sokongan kepada Azmin.
Zuraida yang diketahui sebagai penyokong kuat Azmin secara berkata beliau dan Azmin rela dipecat.
Ditanya mengenai kemungkinan tindakan disiplin akan diambil terhadap kumpulan Azmin, Saifuddin berkata, Presiden Parti itu Anwar Ibrahim, masih terbuka untuk berdamai.
Namun tegasnya mood ahli parti ialah, mereka tidak boleh menerima mana-mana pemimpin yang gagal mematuhi disiplin organisasi.
"Hal itu termasuk dalam isu menghadiri mesyuarat," katanya.
0 Comments