SETAKAT malam tadi, mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu dilapor mencatat peningkatan dengan jumlah mangsa.
Berbanding petang semalam, seramai 14,986 orang dari 4,862 keluarga terjejas berbanding 14,193 dengan 4,584 keluarga seperti dilapor pada sebelah petang.
Memetik laporan Bernama, jumlah mangsa meningkat kepada 10,078 orang membabitkan 3,437 keluarga sehingga 8 malam ini berbanding 8,550 orang daripada 2,910 keluarga pukul 4 petang tadi di Kelantan.
Sementara itu, laman sesawang ebanjir.kelantan.gov.my menunjukkan paras Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas meningkat kepada 10.61 meter pada pukul 8 malam ini berbanding 10.45 meter pada pukul 4 petang tadi, melepasi paras bahaya sembilan meter.
Sungai Golok di Jenob, Tanah Merah merekodkan bacaan 23.72 meter (bahaya 23.5 meter), Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat pada paras 3.10 meter (bahaya 2.5 meter) dan Sungai Kelantan di Jambatan Guilemard, Tanah Merah mencecah 16.36 meter (bahaya 16 meter).
Selain itu, Sungai Kelantan di Kuala Krai melepasi paras amaran pada bacaan 24.39 meter (amaran 22.5 meter) manakala Sungai Lebir di Tualang pada paras 32.44 meter (amaran 31 meter).
Dua sungai melepasi paras berjaga-jaga pula ialah Sungai Galas di Dabong, Kuala Krai dengan bacaan 34.53 meter (berjaga-jaga 32 meter) dan Sungai Kelantan di Tambatan Diraja, Kota Bharu pada paras 3.83 (berjaga-jaga 3.0 meter).
Di TERENGGANU jumlah mangsa setakat malam ini turun kepada 4,908 orang melibatkan 1,425 keluarga berbanding 5,591 orang daripada 1,661 keluarga, petang tadi.
Mereka semua ditempatkan di 114 PPS di tujuh buah daerah.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel Che Adam A Rahman berkata di Besut, yang merupakan daerah paling teruk terjejas merekodkan peningkatan iaitu 1,879 mangsa daripada 503 keluarga di 51 PPS berbanding 1,846 mangsa (485 keluarga) petang tadi.
0 Comments