Jabatan Penjara sangkal tuduhan peguam Najib


JABATAN
Penjara Malaysia menafikan dakwaan Peguam Najib Razak bahawa kononnya bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Azilah Hadri dibawa keluar untuk bertemu orang kenamaan atau VVIP pada Februari lepas.

Menerusi satu kenyataan oleh Jabatan Penjara hari ini, jabatan itu memaklumkan Azilah tidak pernah dibawa keluar dari Penjara Kajang sepanjang tahun ini.

Menurut mereka, kali terakhir Azilah dibawa keluar pada 15 April 2015 iaitu bagi urusan menghadiri perbicaraan di Mahkamah Majistret Sepang.

"Pengiringan bagi menghadiri perbicaraan itu dilaksanakan setelah Penjara Kajang menerima Perintah Mengemukakan Orang Dalam Jagaan dari Mahkamah Sepang.

"(Ia selaras) Seksyen 30 Akta Penjara yang mengkehendaki banduan menghadirkan diri di mahkamah seperti mana masa dan tempat yang dinyatakan," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyatan itu lagi, berdasarkan rekod, Azilah telah dilawati sebanyak 34 kali oleh keluarga dan 15 kali oleh peguam beliau di Penjara Kajang sejak setahun yang lalu.

"Lawatan ini dijalankan seperti mana Peraturan 179 Peraturan Penjara 2000 berkenaan lawatan kepada mana-mana banduan akhir," jelas kenyataan itu. 

Semalam, Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili bekas Najib mendakwa Azilah dibawa keluar dari Penjara Kajang untuk bertemu VVIP Februari lalu.

Kenyataan itu dibuat susulan pendedahan Azilah melalui Akuan Bersumpah (SD)nya yang mendakwa arahan untuk membunuh wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu dikeluarkan Najib, yang ketika kejadian merupakan timbalan perdana menteri.