20 kereta tenggelam akibat banjir kilat


KIRA-KIRA 20 kenderaan yang berada disekitar sebuah pusat membeli belah di Ayer Keroh Melaka dilapor ditenggelami air semalam.

Kejadian itu dipercayai berpunca dari banjir kilat susulan hujan lebat bermula kira-kira jam 5.30 petang.

Susulan kejadian itu, air di kawasan rendah yang bertakung turut dilapor melimpah sehingga menyebabkan beberapa kenderaan ringan yang melalui kawasan itu terkandas.

"Kita mendapati beberapa kawasan termasuk di bahagian belakang bangunan pusat beli-belah yang menempatkan sebuah pasar raya dan pejabat Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) dimasuki air," kata Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba Melaka, Zulkifli Nordin.

Tambahnya, pihak bomba bergegas ke lokasi kejadian setelah menerima aduan awam.

Sementara itu seorang pengunjung Melaka Mall, Az Hilal Fakarullah Azham, 18, yang dipetik laporan Sinar berkata, dia bersama rakannya terpaksa meredah air paras pinggang untuk memeriksa kenderaan yang ditenggelami kerana bimbang sekiranya ada mangsa yang terperangkap.

"Sebelum itu kami sempat membantu mengalihkan kereta rakan dan ternampak ada lampu kenderaan lain yang menyala.

"Kami terus meredah air dan mendekati kenderaan tersebut namun nasib baik tiada orang," katanya.
 

Post a Comment

0 Comments