Ustaz Azhar Idrus cedera jatuh basikal


USTAZ Azhar Idrus (UAI) dilapor patah tangan kiri dan hidung selepas terjatuh basikal.

Beliau ketika itu dalam perjalanan pulang dengan mengayuh basikal ke rumahnya di Jalan Pusara dekat Kuala Terengganu selepas menyertai kayuhan santai sekitar bandaraya itu bersama sekumpulan penunggang basikal petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, UIA dipercayai jatuh setelah basikal ditungganginya tiba-tiba berhenti mengejut menyebabkan penceramah itu terjatuh atas jalan.

Pembantu khasnya, Wan Safari Wan Ahmad, berkata UAI kemudian dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) bagi mendapatkan rawatan segera.

UIA ketika menyertai kayuhan sekitar Kuala Terengganu
“Kami bersyukur kerana ketika kejadian, peserta yang mengikuti kayuhan santai masih berada di kawasan berhampiran dan segera menghulurkan bantuan.

“UAI masih dirawat di Unit Kecemasan dan sedang diperiksa pakar. Beliau mungkin menjalani pembedahan segera malam ini.

“Bagaimanapun, ia terpulang kepada keputusan pakar dan doktor yang merawatnya,” katanya dipetik.

Difahamkan, lapan peserta mengikuti kayuhan santai bermula dari Masjid Khalifah di Jalan Pusara dan ke sekitar bandar raya ini sebelum kembali semula ke masjid berkenaan.

Turut bersama dalam kayuhan tersebut adalah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah

Sementara itu, akaun Facebook Ustaz Azhar Idrus (Original) ada memaklumkan semua kuliah yang sepatutnya disampaikan UAI terpaksa ditangguh sehingga diberitahu kelak kerana beliau perlu berehat akibat terbabit kemalangan berkenaan.