PENYOKONG Indonesia yang menyaksikan perlawanan bola sepak Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 antara Malaysia menentang Indonesia wajar merasa malu.
Mana tidaknya, kelakuan sebahagian penyokong pasukan 'tetamu' itu ibarat bagi diberi susu, dibalas pula dengan tuba.
Perlawanan malam tadi yang sepatutnya berlangsung dalam suasana penuh semangat sukan dicemari provokasi penyokong garuda terhadap penyokong Malaysia.
Berdasarkan rakaman video yang tular di media sosial, provokasi itu berlaku selepas pasukan negara mendahului perlawanan dengan jaringan Muhammad Safawi Rasid pada minit ke-29.
Kelihatan sebatang suar dilontarkan ke arah penyokong pasukan negara.
Ini bukanlah insiden pertama berlaku, insiden serupa berlaku ketika pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Utama Gelora Bung Karno di Jakarta pada September lalu.
Difahamkan, penyokong Indonesia pada ketika itu berang dan kecewa dengan kekalahan skuad Garuda, bertindak menyerang penyokong Malaysia dengan merempuh kawasan tempat duduk mereka.
Sementara itu, insiden yang dicetuskan penyokong biadap malam tadi itu telah mencetuskan suasana riuh diluar stadium.
Awani dalam laporannya berkata, keadaan itu memaksa Pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) mengawal keadaan di hadapan Pintu Masuk E.
0 Comments