PENYERANG Harimau Malaya, Muhammad Safawi Rasid menjadi wira apabila membawa skuad Malaysia memenangi perlawanan bola sepak Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 malam tadi.
Dalam perlawanan menentang Indonesia di Stadium Nasional, Bukit Jalil itu, Harimau Malaya membenamkan Garuda Merah dengan keputusan 2-0.
Skuad bimbingan Tan Cheng Hoe itu memerlukan kira-kira 30 minit untuk berada pada kedudukan selesa. Rembatan kemas sepakan percuma dilakukan Safawi berjaya menerobos gawang Indonesia sekaligus menghadiahkan mata pertama untuk Malaysia.
Pemain JDT itu kemudian menggadakan gol melalui tendangan kencang dari kiri pintu gol Indonesia pada minit ke-73 dan gagal ditangkis oleh Muhammad Ridho.
Cemas dengan situasi itu, pasukan pelawat cuba merapatkan jurang apabila pengadil memberikan penalti kepada mereka selepas seorang pemain pasukan itu dijatuhkan dalam kotak penalti pada minit ke-83.
Bagaimanapun tendangan kurang bertenaga daripada penyerang kelahiran Nigeria, Osas Marvellous mudah dibaca penjaga gol Malaysia, Mohd Farizal Marlias, yang menangkapnya dengan baik di kanan gawang.
Sebagai rekod, kedua-dua pasukan adalah musuh tradisi dalam perlawanan bola sepak, Pertemuan Malaysia-Indonesia malam tadi merupakan pertembungan ke-97 sejak 1957.
Kemenangan bergaya malam tadi membolehkan Malaysia mendapat sembilan mata daripada lima perlawanan bagi saingan kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023.
Selepas perlawanan berakhir, Vietnam menduduki tempat teratas kumpulan G dengan 11 mata, manakala Thailand kekurangan satu mata berbanding Malaysia yang berada di kedudukan kedua.
Indonesia setakat ini gagal meraih sebarang mata selepas mengharungi lima perlawanan.
0 Comments