Mandor ladang cedera dirempuh gajah


SEORANG penyelia ladang sawit cedera dirempuh gajah liar dalam kawasan ladang dekat Felda Nitar 2 dekat Mersing semalam.

Dalam kejadiaan kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, Mohd Hanafi Mohd Isa, 30, dilapor cedera pada bahagian badan, beliau dikejarkan ke Hospital Mersing dan diberi rawatan.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor, Salman Saaban berkata, siasatan awal pihaknya mendapati mangsa dikatakan pergi ke lokasi kejadian seorang diri selepas mendapat tahu tentang kemasukan gajah ke kawasan berkenaan.

"Sejurus menerima maklumat mengenai kejadian terbabit, seramai empat pegawai Perhilitan Daerah Mersing bergegas ke lokasi kejadian.

"Setibanya di tempat kejadian jam 2 petang, mangsa dari Blok 5B Felda Nitar 2 telah pun dibawa keluar dengan menaiki Hilux dan diserahkan kepada pihak ambulans untuk dikejarkan ke Hospital Mersing," katanya dalam satu kenyataan.

Mangsa dikejarkan ke Hospital
Tambahnya, berdasarkan kesan laluan dan najis yang ditemui, dianggarkan terdapat dua ekor gajah dikawasan itu, namun mamalia itu jelasnya tidak kelihatan ketika pegawainya berada di kawasan tersebut.

Sehubungan kejadian itu, Salman menasihatkan orang awam supaya tidak mengambil tindakan bersendirian menghalau binatang liar kerana ia akan menimbulkan risiko yang tinggi dan sangat berbahaya kepada diri sendiri

Manakala pihak Perhilitan katanya akan membuat pemantauan dikawasan tersebut dari semasa ke semasa di samping mengambil tindakan tembak halau di lokasi kejadian bagi menghalau gajah-gajah tersebut jika masih berada di sekitar kawasan berkenaan.
 

Post a Comment

0 Comments