Sebak di Sepang, Hafizh tekad kembali ke MotoGP


PELUMBAAN MotoGP Malaysia yang berakhir di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) semalam meninggalkan kesan mendalam kepada Hafizh Syahrin Abdullah.

Bakal meninggalkan kelas MotoGP untuk kembali beraksi dalam kelas pertengahan Moto2 pada musim depan, Hafiz ternyata tidak mampu membendung perasaan sedihnya apabila gagal mengutip sebarang mata untuk peminat di halaman sendiri.

“Perlumbaan tadi walaupun kurang baik tapi saya bersyukur, Alhamdulillah dapat menamatkan saingan di tempat ke-16 dan menghabiskan perlumbaan cukup baik berbanding sebelum ini.

“Tapi saya ingin memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia yang datang memberikan sokongan serta mengharapkan keputusan terbaik.

"Kalau jentera saya lebih bagus, Insya-Allah lebih senang untuk cipta keputusan tapi tiada apa-apa perubahan dari jentera walaupun mekanik bertungkus lumus membantu saya,” kata Hafizh.

Hafizh yang berlumba bagi pasukan Red Bull KTM Tech3 menunjukkan prestasi membanggakan ketika musim pertama dalam persaingan kelas premier itu, bagaimanapun setelah pasukan itu menukar jentera KTM daripada Yamaha pada musim ini, Hafizh berdepan masalah pengendalian dan prestasi jentera.

Sementara itu, rakan sepasukannya musim lalu, Johann Zarco yang turut menunggang jentera KTM pada musim ini mengambil keputusan lebih awal meninggalkan pasukan yang menggunakan jentera itu bagi menyelamatkan kariernya.

“Ini perlumbaan terakhir rakyat Malaysia melihat saya beraksi dalam MotoGP. Insya-Allah kalau ada rezeki mungkin saya akan kembali dalam MotoGP pada 2021," tambahnya. 


Tekad Kembali

Tahun lalu, Hafiz yang menggunakan jentera bernombor 55 bermula di petak ke-23. Pemuda kelahiran Ampang itu mengejutkan penonton apabila berjaya menamatkan perlumbaan di tangga ke-10 di Sepang.

Sebagai rekod, Hafiz akan berlumba bersama bersama pasukan Angel Nieto pada musim hadapan.

Mengakui tidak berputus asa meskipun ‘diturunkan pangkat’ pada 2020, Hafiz tekad kembali ke kelas perdana berkenaan menjelang perlumbaan musim 2021.

“Apa pun saya berharap tahun depan saya dapat melakukan yang terbaik dalam Moto2, dan agak sedih apabila meninggalkan perlumbaan kelas MotoGP," tambahnya.

Post a Comment

0 Comments