PERDANA MENTERI Jepun, Shinzo Abe berdepan detik cemas apabila pesawat kerajaan dinaikinya mengalami kebakaran kecil.
Ketika kejadian Abe sedang dalam perjalanan ke Bangkok dengan pesawat Boeing 777-300ER tersebut untuk menghadiri Sidang Kemuncak Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN).
Menurut laporan Asahi Shimbun, kira-kira sejam selepas berlepas dari Tokyo, anak kapal membuat pengumuman tentang kebakaran kecil yang disebabkan oleh ketuhar dalam pesawat.
10 minit kemudian, satu lagi pengumuman dibuat untuk memberitahu kebakaran telah pun dipadam dan tiada asap atau sebarang bau dikesan.
Media tempatan, Jiji Press dan Kyodo News melaporkan berita yang serupa, dengan menyebut sumber kerajaan.
Sementara itu, tiada perubahan kepada jadual perjalanan Abe, kata Kyodo.


0 Comments